Frasa kerja tak transitif Frasa kerja

FK tak transitif ialah frasa kerja yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

FK tak transitif tak berpelengkap

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

4. Contoh:

a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

FK Tak Transitif Berpelengkap

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

5. Contoh:

a. Siti menjadi guru.
b. Keadaannya beransur baik.
c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

5'. Contoh:

a. *Siti menjadi.
b. *Keadaannya beransur.
c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialahfrasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendinama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Panduan:

  • Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada frasa sendi nama.
  • Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa nama (6).
(6) Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.